Sunday, 20 November 2016

Puisi Bertemakan Alam 2



Kedinginan dan Ketenangan

Dalam aturan langkah demi langkah
Ku tebarkan pandangan ke segenap ruang
             Diri ini terasa begitu tenang            
Setenang air yang mengalir dikali
Terasa bagaikan diri ini begitu hampir 
dengan ciptaan nan indah itu.

Dikejauhan, terbentang luas hamparan hijau dari pepohon
Kicauan burung seperti turut mengiakan apa yang terhidang
Begitu diri ini merasakan nikmat kesyukuran
Kerana diri masih diberikan peluang untuk menikmatinya
Kekadang terlintas dibenak fikiran
Agar masa dapat dihentikan untuk seketika
Supaya nikmat alam ini dapat dinikmati dengan lebih lama. 

Puisi Bertemakan Sains dan IT

Teknologi dan Kemodenan

Teknologi,
Dikau bergerak seiring dengan kemajuan globalisasi
Kewujudan mu mewujudkan sentimen modenisasi
Penggunaan mu mendatangkan perubahan
Peralihan kearah kemodenan sejagat

Teknologi,
Dikau ialah cabang ilmu kepada pencarinya
Penggunaan mu turut dikaitkan dengan sains
Kemajuan ilmu sains menjadi mudah dengan teknologi
Sains dan teknologi menjadi lambang kemajuan minda bangsa

Teknologi,
Dikau perlu dimanfaatkan sebaiknya
Kealpaan menggunakan mu 
mendatangkan kesan kepada pembangunan bangsa
Kelekaan mempraktikkan mu mewujudkan kemusnahan negara
Semaada engkau membangun atau memusnahkan 
bergantung kepada niat engkau digunakan.

Puisi Bertemakan Kemerdekaan/Patriotik



Ingatan
Ditanah ini terciptanya sebuah sejarah
Peristiwa yang membawa kepada seribu satu erti
Jerih-perih insan terdahulu
Menjadi lambang gapaian kebebasan

Tanah dijajah wujud pelbagai punca
Antara kekayaan bumi dan perluasan kuasa penjajah
Faktor keagamaan dan ekonomi turut menjadi penyebab
Menjadikan perih kepada warganya

Kemerdekaan yang digapai
Peliharalah ia
Jangan menyiakan pengorbanan mereka terdahulu
Antara nyawa dan pengorbanan bukan halangan
Demi satu tujuan mereka bangkit
Melihat generasi mendatang hidup aman sejahtera selamanya.

Puisi Bertemakan Kasih Sayang/Cinta


Pemberian

Cinta bagaikan oksigen
Oksigen yang mengalir bersama darah
Meliputi setiap genap tubuh manusia
Cinta itu akan musnah jika dihulurkan kepada insan yang salah
Tetapi akan mekar jika disambut oleh mereka yang layak

Memelihara cinta
Ibarat memelihara jiwa
Jiwa akan mati jika cinta dan sayangnya hilang
Namun, jiwa yang hidup jika mekar cinta dan sayangnya
Peliharalah cinta dan sayang itu

Saturday, 19 November 2016

Puisi Bertemakan Ekonomi



Perjalanan Itu
Ketika mentari mula menyinsingkan cahayanya
Terlihat susuk tubuh yang membelah 
kepekatan kabus
Membawa bersama basikal tua
Menjadi peneman mencari rezeki

Rezeki yang dicari menjadi rahsia
Sama ada banyak atau sedikit
Sama ada mampu merubah nasib atau tidak
Ianya bergantung kepada ketentuan

Setiap langkah yang diatur diiringi dengan doa
Agar usaha diberkati dan dirahmati
Desakan hidup menjadi penguat
Demi mendapat sesuap nasi

Saturday, 5 November 2016

Puisi Bertemakan Budaya dan Warisan




Adat dan Warisan
Warisan melayu warisan berzaman
Menjadi lambang keutuhan bangsa
Budaya melayu bercirikan keunikan bangsanya
Walaupun masa berganti masa, zaman berganti zaman
Mempertahankan budaya sebagai warisan berzaman 
adalah dituntut

Masyarakat terdahulu membangunkan adat
Menjadi warisan kepada generasi mendatang
Jika tidak menjadi amalan
Hilanglah ia dimakan masa

Generasi moden generasi pewaris
Warisan dahulu jadikan warisan
Budaya yang baik mestilah dijaga 
Bijak dalam menimbangtara perlu dalam menilainya

Masyarakat melayu masyarakat yang unik
Hidup bermajmuk di negara Malaysia tercinta
Kepelbagaian budaya dikongsi bersama
Menjadi warisan bangsa Malaysia yang merdeka.

Puisi Bertemakan Ilmu




Pelita Ilmu

Seiring dengan peredaran masa 
Yang bergerak cepat tanpa kita sedari
Ilmu itu merupakan jalan-jalan yang menyuluh
Dikala diri ini berdepan dengan cabaran

Ilmu dikatakan penerang dijiwa
Menjadi banteng agar diri ini terus terpelihara
Tanpa ilmu dimanakan kita
Hanya dipandang tidak berguna

Ilmu itu dikutip daripada insan yang bergelar guru
Pengalaman hidup juga boleh menjadi sumber ilmu
Jika pengalaman itu tidak dijadikan iktibar
Maka kita bukan pencinta dan pencari ilmu yang sebenar.